NOVEMBER 2022

RM100 Juta Dilulus Untuk UNIFOR Bagi Tahun 2023


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperuntukkan sebanyak RM255 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sejak tahun 2017.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bagi tahun 2023 Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan sebanyak RM100 juta lagi untuk UNIFOR.

Jelasnya, ia bukti komitmen kerajaan GPS dalam melindungi kesejahteraan rakyat Sarawak bagi memastikan semua agama di negeri ini terus sentiasa dijaga.

“Kita mesti terus membangun kerana kerajaan GPS akan terus melindungi dan menjaga kebebasan beragama di Sarawak seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Kami akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan semua agama akan sentiasa dijaga. 

“Itulah sebabnya sejak 2017 Premier Sarawak telah memperuntukkan RM255 juta untuk UNIFOR dan saya pasti ramai mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.

“Menerusi pertemuan dengan Premier Sarawak baru-baru ini, beliau turut meluluskan RM100 juta untuk UNIFOR bagi tahun 2023,” katanya semasa menyempurnakan Majlis ‘Thank You Sir’ di Kuching pada Khamis.

Datuk Amar Douglas menambah, daripada jumlah peruntukan RM100 juta itu, beliau berharap agar sebanyak RM30 juta dapat disalurkan kepada sekolah mubaligh.

Sementara itu, beliau juga menyeru seluruh rakyat Sarawak memainkan peranan memberikan sokongan dan kerjasama kepada pihak kerajaan seperti yang telah diberikan semasa menghadapi pandemik covid-19. 

“Jika kita boleh duduk bersama dan membincangkan isu seperti cara kita menangani covid-19 sebelum ini, saya amat pasti perpaduan kaum, agama, toleransi yang kita ada di Sarawak akan diteruskan dalam perjalanan menuju ke tahun 2030 untuk menjadi negeri paling aman di Malaysia. 

“Ini supaya kita dapat bersama meneruskan kehidupan menjaga keluarga, anak-anak termasuk rakan-rakan dan seterusnya akan dihargai oleh generasi akan datang,” ujarnya.

Dalam program sama, Datuk Amar Douglas turut menyampaikan Geran Operasi Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Tahun 2022 kepada 15 penerima.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi I Sarawak Datuk Liwan Lagang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik dan Pengarah UNIFOR Richard Lon. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS